Tiga lelaki warga Indonesia ditahan, tiada dokumen pengenalan diri

Tiga lelaki warga Indonesia ditahan, tiada dokumen pengenalan diri

Dua lelaki warga Indonesia ditahan Pasukan Polis Marin (PPM) menerusi Ops Gelora kerana tidak memiliki dokumen perjalanan atau pengenalan diri yang sah di kawasan Jeti Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ), Tawau. – Foto ihsan PPM

TAWAU: Pasukan Polis Marin (PPM) menahan tiga lelaki warga Indonesia dalam operasi khas, Ops Gelora di dua lokasi berasingan semalam.

Komander PPM Wilayah 4 Sabah, Asisten Komisioner Mohamad Pajeri Ali, berkata tangkapan pertama membabitkan seorang lelaki berusia 19 tahun selepas hasil pemeriksaan mendapati individu terbabit tidak memiliki dokumen pengenalan diri yang sah.

“Sepasukan anggota PPM memeriksa sebuah bot jongkong yang dikendalikan pemuda itu ketika dalam perjalanan mahu berlabuh di Pelabuhan Tawau kira-kira jam 10.50 pagi.

“Ketika diperiksa, pemuda itu gagal mengemukakan dokumen pengenalan diri sebelum ditahan dan dibawa ke Markas Operasi PPM Tawau untuk tindakan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.

Sementara itu, dalam operasi berasingan di kJeti Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ), di sini, pegawai dan anggota Unit Risikan Marin (URM) menahan dua lelaki dalam keadaan mencurigakan.

Menurutnya, pemeriksaan lanjut turut mendapati kedua-dua lelaki dewasa berumur 19 dan 20 tahun itu gagal mengemukakan dokumen pengenalan diri.

“Kesemua semua suspek ditangkap untuk siasatan lanjut mengikut Akta Imigresen 1959/63 yang memperuntukkan denda tidak melebihi RM10,000 atau penjara tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya sekali.

“Mereka juga boleh dikenakan hukuman sebat tidak lebih daripada enam kali sebatan atau kompaun sehingga RM3,000 jika disabitkan kesalahan,” katanya. -bharian

Komen

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *