Tiada pejabat konsulat alasan Filipina tuntutan Sabah

Tiada pejabat konsulat alasan Filipina tuntutan Sabah

Mohd Shafie (kiri) meneliti fail yang diserahkan oleh Setiausaha Sulit Ketua Menteri Sabah, Francis Au (kanan) sebelum persidangan bermula di Dewan Undangan Negeri Sabah hari ini. – Foto BERNAMA

KOTA KINABALU: Filipina membuat tuntutan ke atas Sabah atas alasan negara itu tidak ada pejabat konsulat di negeri ini.

Hakikatnya, kerajaan sudah beberapa kali bertemu dengan pemimpin negara itu untuk meminta mereka untuk mewujudkan sebuah pejabat perwakilan di Sabah.

Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal menegaskan, kerajaan negeri juga turut Filipina supaya mengeluarkan dokumen pengesahan atau pasport kepada rakyatnya untuk membantu menyelesaikan masalah Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) di Sabah.

“Bagaimanapun, salah satu syarat mereka adalah orang ini (PATI) perlu balik ke Manila di Filipina terlebih dahulu.

“Ini bukan mudah untuk rakyat mereka melakukan sedemikian. Bagaimanapun, negara jiran itu sudah melantik ejen di negeri ini untuk mengendalikan urusan dokumentasi rakyat mereka,” katanya.

Mohd Shafie demikian ketika menjawab soalan yang dikemukakan Datuk Bolkiah Ismail (Pitas- Warisan) pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN), hari ini.

Sementara itu, dalam jawapan lisannya, beliau berkata, sepanjang tahun ini, seramai 9,419 PATI sudah diusir keluar.

Katanya, bagi memperkemaskan lagi urusan pengusiran PATI di negeri ini, Kerajaan Negeri bekerjasama dengan pihak kedutaan Filipina dan Indonesia supaya urusan dokumentasi dipercepatkan bagi membolehkan pengusiran berjalan lancar.

“Pada ketika ini, semua empat Pusat Tahanan Sementara (PTS) berada dalam keadaan sesak dengan jumlah mencecahkan 7,463 orang.

“Sungguhpun demikian, operasi menjejaki dan menangkap PATI tetap giat dijalankan. Dalam tempoh tahun ini, sebanyak 6,018 operasi bersepadu sudah dijalankan,” katanya.

Mohd Shafie berkata, usaha membendung masalah PATI tidak mampu diselesaikan sekelip mata dan ia memerlukan pembabitan pelbagai pihak. -Bharian

Komen

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *