SOROTAN 2019: SABAH BERDEPAN ANCAMAN KEPUPUSAN HIDUPAN LIAR

SOROTAN 2019: SABAH BERDEPAN ANCAMAN KEPUPUSAN HIDUPAN LIAR

KOTA KINABALU, 28 Dis — Tahun 2019 menjadi tahun penuh mencabar buat Sabah dalam aspek pemeliharaan serta pemuliharaan hidupan liar dan alam sekitarnya, yang menyaksikan pelbagai peristiwa menyedihkan termasuk ancaman kepupusan menimpa beberapa spesies haiwan liar istimewa di negeri ini.

“Negeri di Bawah Bayu” ini tidak pernah terlepas daripada mendapat perhatian media dalam isu melibatkan hidupan liar sepanjang tahun ini.

Kematian Iman, badak sumbu Sumatera betina terakhir Malaysia pada 23 Nov lepas adalah antara berita paling mendukacitakan diumumkan Jabatan Hidupan Liar (JHL) Sabah, sebulan sebelum 2019 melabuhkan tirainya.

Bukan hanya warga Sabah sahaja merasai kesedihan atas kehilangan badak sumbu betina itu tetapi juga seluruh rakyat Malaysia, malah berita pemergian Iman turut mendapat perhatian dunia kerana ia kini secara rasmi pupus di Malaysia.

Iman disahkan mati pada 5.35 petang di Santuari Badak Borneo (BRS) di Pusat Perlindungan Hidupan Liar Tabin, Lahad Datu, dan ia memberi tamparan hebat kepada usaha memulihara spesies berkenaan serta hidupan liar lain yang semakin diancam kepupusan.

Lebih tragis, kematian Iman berlaku kira-kira enam bulan selepas negara kehilangan Tam, badak sumbu Sumatera jantan terakhir negara, yang mati akibat kegagalan jantung dan paru-paru pada 27 Mei lepas.

Selain badak sumbu, satu lagi haiwan mamalia di Sabah berdepan ancaman kepupusan ialah gajah Pygmy Borneo apabila sebanyak 24 kematian direkodkan pada tahun ini sahaja dan lebih menyedihkan lima kematian gajah dilaporkan dalam tempoh empat bulan.

Bangkai gajah Borneo pertama yang maut akibat kerakusan pemburu haram ditemukan di Sungai Udin, Dumpas, Kalabakan, Tawau, pada 25 Sept dan JHL Sabah menyifatkan kematian gajah berkenaan sebagai satu pembunuhan kejam kerana hasil bedah siasat mendapati lebih kurang 70 peluru ditemukan dalam badan haiwan tersebut.

Kerjasama beberapa badan bukan kerajaan menawarkan ganjaran sehingga RM30,000 kepada pemberi maklumat serta hasil tindakan pantas pasukan polis dan JHL Sabah melancarkan Op Khazanah membawa kepada penahanan lima warga tempatan dan seorang pendatang tanpa izin bersama lima laras senjata api, 59 butir peluru hidup, 53 kelongsong peluru serta gading gajah.

Belum reda dengan kes itu, seekor gajah Borneo ditemukan mati dipercayai ditembak pada 19 Okt di sebuah ladang kelapa sawit di Beluran, dan dua minggu kemudian, bangkai seekor gajah Borneo yang sudah reput ditemui pula terapung di Sungai Kinabatangan pada 3 Nov sebelum seekor lagi gajah ditemui mati di Sukau pada 16 Nov.

Terbaru, satu lagi bangkai gajah ditemukan mati oleh pekerja ladang di Bakapit, Lahad Datu, pada 9 Dis.

Sejak 2010, sebanyak 145 kes kematian gajah dicatatkan di Sabah yang antara lain disebabkan oleh kegiatan pemburuan haram, pembunuhan balas dendam, keracunan, kemalangan, penyakit dan selebihnya tidak dapat dikenal pasti punca kematiannya.

Gambar hiasan

Jumlah dicatat dalam tempoh hampir 10 tahun itu dilihat besar apatah lagi dalam keadaan spesies gajah di Sabah semakin di ambang kepupusan dengan hanya kira-kira 2,000 ekor sahaja yang tinggal.

Tidak boleh dinafikan kegiatan pemburu haram merupakan isu besar di seluruh negara sehingga mendapat perhatian Ketua Polis Negara Tan Sri Abdul Hamid Bador, yang mengambil langkah drastik melancarkan Operasi Bersepadu Khazanah (OBK) bagi membanteras kegiatan pemburu haram yang rakus memburu hidupan liar dilindungi termasuk harimau, tenggiling, landak dan gajah bagi mengaut keuntungan.

Malah, ada orang kenamaan dalam negara dikenal pasti turut terlibat aktif dalam kegiatan pemburuan haram di sekitar hutan di Semenanjung.

‘Perang’ terhadap aktiviti pemburuan haram tidak terhenti setakat itu apabila polis turut menggandakan siasatan terhadap restoran yang menghidangkan menu eksotik daripada haiwan yang dilindungi.

— BERNAMA

Komen

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *