SAUK bantu dua rakyat Sabah terkandas di UK

SAUK bantu dua rakyat Sabah terkandas di UK

David dan Franky menjadi mangsa ejen pekerjaan palsu di Heathrow. – Foto ihsan SAUK

KOTA KINABALU: Sabahan Abroad United Kingdom (SAUK) tampil membantu dua rakyat negeri ini yang terkandas di Heathrow, London selepas dipercayai menjadi mangsa ejen pekerjaan palsu di negara itu.

Dua individu berkenaan, masing-masing dikenali sebagai David, 41, dan Franky, 27, berasal dari Kudat dilaporkan tiba di negara itu pada 9 Disember lalu menggunakan visa pelancong.

Bagaimanapun, hasrat mereka bekerja di negara itu tidak kesampaian apabila tiada sesiapa, termasuk wakil ejen pekerjaan berkenaan menjemput mereka di lapangan terbang.

Berbekalkan sedikit wang dibawa, mereka terpaksa berkongsi bilik hotel sehingga kehabisan wang selepas empat hari berada di negara berkenaan.

Selepas beberapa hari usaha menghubungi ahli keluarga untuk mendapatkan bantuan, nasib malang mereka akhirnya sampai ke pengetahuan sekumpulan rakyat Sabah di sana.

Kumpulan berkenaan akhirnya berjaya mendapatkan sumbangan daripada pelbagai pihak untuk membantu membayar kos kedua-dua mangsa kembali ke tanah air.

Presiden SAUK, Alfred Raymond Edward, berkata pihaknya dimaklumkan mengenai nasib kedua-dua mangsa melalui seorang rakyat Sabah di Australia melalui Facebook Messenger.

Katanya, mereka yang simpati dengan nasib kedua-duanya kemudian mengatur pelan tindakan bagi membantu kedua-dua mangsa.

“Kami berjaya bertemu dengan kedua-dua indovidu terbabit untuk menyalurkan bantuan makanan, selain mengumpulkan maklumat berkaitan, termasuk kisah mereka terkandas di London bagi merangka tindakan susulan,” katanya dalam satu kenyataan, di sini semalam.

Katanya, ia kali pertama pihaknya berdepan kes berkenaan, namun percaya terdapat banyak mangsa diperdayakan sindiket seumpama itu yang bukan hanya membabitkan rakyat Sabah, bahkan warga Malaysia.

Beliau juga menasihatkan rakyat Malaysia yang ingin bekerja di luar negara supaya untuk melengkapkan diri dengan pengetahuan mengenai semua terma dan syarat sebelum bersetuju bekerja di mana-mana negara luar.

Difahamkan, David dan Franky masing-masing membelanjakan RM10,000 untuk tiket penerbangan dan yuran kemasukan, termasuk permohonan visa kepada agensi pekerjaan berkenaan.

Ketika terkandas, mereka ada meminta bantuan pihak berkuasa negara itu, namun terkejut apabila dimaklumkan mereka tidak dibenarkan bekerja kerana menggunakan visa pelancong.

Kedua-dua mangsa turut memaklumkan ejen pekerjaan terbabit tidak menyediakan tiket penerbangan pulang, selain agensi pekerjaan dinyatakan juga tidak wujud. -Bharian

Komen

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *