Sabah Softwoods Berhad henti operasi ladang, 7 pekerja positif COVID-19

Sabah Softwoods Berhad henti operasi ladang, 7 pekerja positif COVID-19

Gambar tular di Facebook menunjukkan ambulans bersama kakitangan KKM di sebuah perumahan di sebuah ladang di Kalabakan dipercayai ada kaitan jangkitan wabak COVID-19. – Ihsan Pembaca.

TAWAU: Sabah Softwoods Berhad (SSB) mengesahkan tujuh pekerjanya di Ladang Bukit Batu, Kalabakan dekat sini, sedang mendapat rawatan berkaitan virus COVID-19.

Ketua Pegawai Eksekutif SSB, Hattah Jaafar berkata, berikutan itu pihaknya mengambil langkah drastik menutup operasi ladang itu bagi mengelak lebih ramai pekerja dijangkiti wabak berkenaan.

“Setakat ini tujuh pekerja telah disahkan positif wabak COVID-19 dan kini mendapatkan rawatan di Hospital Tawau manakala lima lagi sedang dikuarantin,” katanya ketika ditemui di sini, hari ini.

Beliau turut mengesahkan dua kakitangannya telah menyertai Ijtimak di Masjid Sri Petaling termasuk seorang imam masjid di ladang berkenaan.

Bagaimanapun beliau menjelaskan, semua mereka termasuk anggota keluarga masing-masing sudah tampil dan melakukan saringan kesihatan di Hospital Tawau.

“Sebagai langkah berjaga-jaga pihak pengurusan SSB mengambil keputusan untuk hentikan operasi dan meminta pekerja tinggal di rumah masing-masing bermula 19 Mac lalu.

“Kakitangan dan pekerja ladang tidak dibenarkan keluar manakala orang luar juga tidak boleh memasuki kawasan ladang,” katanya.

Dalam pada itu, beliau turut merakamkan penghargaan kepada kakitangan Pejabat Daerah Kalabakan dan Hospital Tawau kerana membantu dalam mengendalikan kes jangkitan wabak yang membabitkan pekerja SSB.

Terdahulu, tular di Facebook menunjukkan ambulans bersama kakitangan Kementerian Kesihatan di sebuah perumahan di sebuah ladang di Kalabakan dipercayai ada kaitan jangkitan wabak COVID-19.

Sumber: B.harian

Komen

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *