Sabah rekod 5,747 kes jenayah

Sabah rekod 5,747 kes jenayah

KES jenayah di negeri ini merekodkan penurunan sebanyak 6.46 peratus atau 5,747 kes sepanjang tahun lalu berbanding 6.88 peratus pada 2018.

Jumlah itu sekali gus meletakkan Sabah di tangga ke lima bagi jumlah rekod kes berbanding negeri lain.

Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Omar Mammah bagaimanapun turut memaklumkan jumlah penyelesaian kes bagi Polis Kontinjen Sabah adalah sebanyak 62.50 peratus tahun lalu.

“Dengan jumlah itu, bermaksud setiap 10 kes jenayah yang direkodkan, sebanyak 6.25 kes berjaya diselesaikan.

“Peratusan ini juga sekali gus meletakkan Sabah di kedudukan ke enam dalam penyelesaian kes jenayah di negara ini,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah di Kota Kinabalu, hari ini.

Katanya, daripada segi pembanterasan kegiatan perjudian sebanyak 1,363 serbuan direkodkan tahun lalu berbanding 799 serbuan pada 2018.

“Jumlah tangkapan bagi pembanterasan perjudian pula adalah sebanyak 1, 879 orang pada 2019 berbanding 1,447 orang pada 2018 manakala sebanyak 836 komputer berbanding 313 komputer serta wang tunai RM545, 666 banding RM716, 105.

“Manakala bagi pembanterasan kegiatan maksiat dan pelacuran, sebanyak 113 serbuan dibuat berbanding tahun sebelumnya iaitu 174 serbuan dengan jumlah tangkapan seramai 241 orang dan tahun sebelumnya 539 tangkapan,” katanya.

Omar berkata, pihaknya juga turut menumpukan pada pembanterasan pemilikan senjata api tanpa lesen atau buatan sendiri seperti bakakuk.

“Tahun lalu sebanyak 57 kes senjata api bakakuk dibuka kertas siasatan dan sebanyak 62 laras senjata api dirampas membabitkan 113 tangkapan dan 29 kes sudah dituduh di mahkamah manakala 29 daripadanya masih dalam tindakan,” katanya.

Omar berkata, menerusi statistik itu menunjukkan polis sentiasa fokus dalam mengutamakan keselamatan negeri ini dari ancaman jenayah atau kegiatan menyalahi undang-undang.

“Bagi tahun ini, untuk lebih komited dalam pencegahan jenayah, polis meneruskan program kampung angkat yang dilaksanakan tahun lalu dengan mengambil lima lagi kawasan untuk dijadikan kampung angkat.

“Menerusi program ini, polis dapat mendekati masyarakat sekali gus menjadikan penduduk sebagai mata dan telinga bagi pihak polis dalam memerangi jenayah,” katanya.

Sehubungan itu, Omar berharap menerusi kempen atau program seumpama itu dapat mengelak masyarakat daripada terjebak kegiatan jenayah atau yang menyalahi undang-undang.
H.metro
Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 7 January 2020 @ 2:43 PM

Komen

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *