PKTM Tawau mahu bantu ahli secara telus

PKTM Tawau mahu bantu ahli secara telus

PERSATUAN Komuniti Toraja Malaysia (PKTM) Tawau mahu menjadi persatuan yang telus dalam membantu kebajikan ahlinya di samping dapat membantu dasardasar kerajaan dalam mewujudkan keharmonian kepelbagaian kaum di negara ini.

Presiden PKTM Malaysia Datuk Kalina Ka Yee berkata, persatuan yang diwujudkan ini bersikap telus dan tidak berselindung kepada semua ahlinya dan orang luar supaya setiap orang yang mahu mengetahui perkembangan persatuan boleh diperolehi dengan mudah.

“Selaras dengan matlamat penubuhannya untuk membantu setiap ahlinya dan mahu melahirkan keturunan Toraja berkualiti, berinovasi dan melahirkan pemimpin yang boleh membantu kerajaan membangunkan negara,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa merasmikan majlis kesyukuran dan ramah mesra PKTM cawangan Tawau, semalam.

Katanya, cawangan Tawau merupakan yang terbaharu diwujudkan dan sudah mendapat kelulusan daripada Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia dengan seramai tujuh Ahli Jawatankuasa penaja.

“Setakat ini, kita sudah menerima sebanyak 200 borang keahlian di daerah ini dan berkeyakinan keahliannya akan bertambah dari semasa ke semasa,” katanya.

Kalina berkata, setakat ini pihaknya sudah menubuhkan lapan cawangan di seluruh Malaysia termasuk dua di Sabah iaitu Kota Kinabalu dan Tawau. Di samping itu, cawangan Sarawak dan Labuan dalam perancangan penubuhannya.

“Kita akan melawat negeri-negeri yang sudah dicadangkan sebelum ini dan meneliti sekiranya terdapat komuniti kita yang betul-betul komited mahu menerajui persatuan di peringkat cawangan.

“Dari segi keahlian pula, kita menerima keahlian daripada warganegara Malaysia, bagaimanapun persatuan bersedia menerima keahlian yang bukan warganegara Malaysia dengan syarat perlu ada dokumen pengenalan diri yang sah seperti pasport dan visa,” katanya.

Ditanya mengenai dana persatuan, beliau berkata, persatuan ini merupakan pertubuhan yang sah dari segi undang-undang dan sudah pasti sumber kewangan persatuan datang daripada yuran keahlian.

“Selain itu, kita juga berusaha mendapatkan kerjasama daripada badanbadan korporat, pihak kerajaan dan badan bukan kerajaan untuk bersamasama menjalankan aktiviti supaya persatuan boleh memohon sumbangan daripada pihak yang berkaitan ini,” jelasnya.

Mengulas lanjut, beliau berkata persatuan akan sentiasa mengadakan program-program yang melibatkan kemasyarakatan dan komuniti dalam membantu merealisasikan dasar-dasar kerajaan untuk rakyatnya.

“Selain daripada membantu setiap ahli, kita juga akan melibatkan diri dalam mengadakan program-program misi kemanusian yang melibatkan seluruh masyarakat tanpa mengira agama dan etnik,” katanya.

Tambahnya, memandangkan persatuan baru diluluskan tahun lalu, misi pihaknya buat masa sekarang hanya giat menubuhkan cawangancawangan di seluruh Malaysia.

“Persatuan juga akan mengadakan mesyuarat peringkat pusat selewatlewatnya bulan Febuari ini bagi membincangkan program-program yang akan dilaksanakan untuk tempoh dua tahun,” katanya.

Pengerusi Penaja PKTM Tawau Petrus Bernard berkata, majlis malam ini merupakan julung kali diadakan semenjak persatuan mendapat kelulusan daripada Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia.

“Selaku pengerusi penaja daerah ini, memastikan semua keturunan Toraja mendapat perhatian daripada persatuan dan memohon kerjasama semua AJK penaja serta ahli yang lain membantu mewar-warkan pewujudan persatuan memandangkan cawangan ini meliputi daerah Kalabakan, Semporna dan Kunak,” katanya.

-Utusan Borneo

Komen

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *