Penagih, keldai dadah tak patut dihukum mati, kata menteri

Penagih, keldai dadah tak patut dihukum mati, kata menteri

Liew Vui Keong berkata, kerajaan sedang menunggu laporan cadangan alternatif kepada hukuman mati daripada Jawatankuasa Khas Kajian Hukuman Gantian terhadap Hukuman Mati Mandatori, yang dijangka diterima pada Januari.

KUALA LUMPUR: Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Liew Vui Keong hari ini mendesak negara yang masih mengenakan hukuman mati terhadap keldai dan penagih dadah mengkaji semula undang-undang mereka kerana bukan semua yang dihukum perlu digantung sampai mati.

Beliau berkata, perlu ada semakan berasingan terhadap undang-undang berkaitan pengedar dan penagih dadah.

Katanya, pengedar dadah wajar dihukum.

“(Tetapi) penagih dadah memerlukan rawatan perubatan, bukannya penjara. Mereka tidak sepatutnya digantung.

“Keldai dadah mungkin berbuat demikian untuk beberapa ratus ringgit. Mereka juga tidak patut dihukum mati,” katanya selepas menghadiri satu majlis sempena Hari Hak Asasi Manusia di sini, hari ini.

Beliau berkata, individu kadangkala dijatuhkan hukuman mati berdasarkan andaian.

“Anda harus tahu apa yang anda bawa,” katanya sambil menambah selalunya ada pembeli dan penjual.

“Tetapi hanya membawanya di dalam beg dianggap mengedar.”

Beliau juga bercakap tentang mereka yang mungkin berada di bawah pengaruh dadah lain semasa mengedar, dan sejumlah besar dadah dirampas tanpa menahan dalangnya.

“Apa yang berlaku di sini?” soalnya merujuk satu insiden yang berlaku pada September lalu, di mana polis menggagalkan penyeludupan kokain bernilai RM2.4 bilion ke negara ini.

Beliau berkata, kerajaan sedang menunggu laporan cadangan alternatif kepada hukuman mati daripada Jawatankuasa Khas Kajian Hukuman Gantian terhadap Hukuman Mati Mandatori, yang dijangka diterima pada Januari.

Mengenai Muhammad Lukman Mohamad yang lebih dikenali sebagai “Doktor Ganja” yang dijatuhkan hukuman mati, Liew berkata, kerajaan akan menunggu keputusan Mahkamah Rayuan sebelum mengambil langkah lanjut.

sumber
https://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/2019/12/10/pengedar-dadah-tak-sama-penagih-dadah-kata-menteri/

Komen

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *