Ops Taskforce Bersepadu gempur penyangak rimba

Ops Taskforce Bersepadu gempur penyangak rimba

TAWAU: Lima individu disyaki pemburu haram ditahan dalam operasi khas, Ops Taskforce Bersepadu di empat lokasi berasingan di kawasan hutan simpan dan ladang sawit di daerah ini.

Ketua Konservator Hutan, Datuk Mashor Jaini, berkata kesemua suspek warga tempatan itu yang masing-masing berusia 27 hingga 47 tahun ditahan atas pelbagai kesalahan.

Katanya, kes pertama membabitkan penahanan tiga suspek di Hutan Simpan Sapulut kerana memiliki hasil pemburuan secara haram iaitu tiga ekor babi hutan tanpa lesen.

“Suspek kedua ditahan di sebuah ladang sawit selepas pememeriksaan terhadapnya membawa penemuan sepasang tanduk rusa, 1.7 kilogram daging hidupan liar disyaki rusa, senjata api bersama tiga butir peluru hidup jenis shotgun dan sebutir kelongsong peluru,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.

Sementara itu, beliau berkata, kes ketiga membabitkan tangkapan seorang lagi suspek kerana memiliki 47 helai bulu burung enggang badak tanpa lesen di sebuah ladang sawit.

Dalam operasi sama juga, katanya, pasukan serbuan merampas bangkai babi hutan, organ babi hutan yang dibungkus dalam plastik dan sebatang besi tajam daripada suspek keempat disyaki digunakan untuk memburu.

“Kesemua tangkapan dan barangan rampasan dilakukan mengikut Seksyen 41(2) Enakmen Pemeliharaan Hidupan Liar 1997 Seksyen 8(a) Akta Senjata Api 1960,” katanya.

Sementara itu, beliau memberi amaran kepada orang ramai supaya tidak terbabit dengan aktiviti pemburuan haram, termasuk di kawasan hutan simpan, selain menjamin khazanah alam tidak pupus untuk warisan generasi akan datang.

Operasi selama lima hari yang berakhir hari ini membabitkan pelbagai agensi termasuk Jabatan Perhutanan Sabah, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Hidupan Liar dan Yayasan Sabah.

Ia bagi membanteras aktiviti pemburuan haram membabitkan kawasan hutan simpan di Kalabakan, Hutan Maliau Basin, Hutan Simpan Sapulut, Hutan Simpan Gunung Rara, Jalan Sungai Kuamut dan ladang sawit. -Bharian

Komen

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *