Mangsa bot karam yang terselamat enggan bekerjasama

Mangsa bot karam yang terselamat enggan bekerjasama

LAHAD DATU: Lelaki yang terselamat dalam bot karam di perairan Merabung, Lahad Datu, masih enggan ‘membuka mulut’ untuk menceritakan kejadian sebenar.

Ketua Polis Daerah Lahad Datu Asisten Komisioner Nasri Mansor, berkata setakat ini, pihaknya masih gagal mendapatkan maklumat kejadian itu.

Lelaki berusia 29 tahun itu ditahan selama 14 hari bagi membantu siasatan lanjut yang mana setakat ini dua mayat sudah ditemui, masing-masing lelaki dan wanita manakala enam lagi masih hilang.

“Setakat ini, lelaki itu masih belum mahu menceritakan kejadian sebenar bagaimana bot berkenaan karam sehingga dia ditemui terapung di perairan Lahad Datu.

“Selain itu, mayat yang ditemui terapung di Pulau Mataking, Semporna, kelmarin disahkan antara mangsa bot karam berkenaan,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Bedah siasat mendapati, tiada sebarang unsur jenayah ditemui pada badan mangsa.

MAYAT seorang lelaki dipercayai antara mangsa tragedi bot karam di perairan Merabung ditemui terapung, di perairan Pulau Mataking, Semporna. – NSTP/IHSAN PPM
Sementara itu, Komander Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah Empat Sabah, Asisten Komisioner Mohamad Pajeri Ali, berkata operasi mencari dan menyelamat (SAR) sudah memasuki hari kelima.

Seramai 12 anggota PPM dikerah menjalankan operasi mencari dengan menggunakan tiga bot ronda dengan keadaan laut dilaporkan bergelora dan hujan lebat.

SAR dimulakan jam 7 pagi tadi dan operasi pencarian dijalankan di kawasan perairan Alice Reef, Lahad Datu dan perairan Pulau Pom-Pom, Semporna.

Dalam kejadian Khamis lalu, sebuah bot yang dinaiki sembilan individu termasuk dua kanak-kanak dilaporkan karam di perairan Merabung, dekat sini.

Seorang lelaki yang dipercayai juragan bot ditemui selamat manakala mayat seorang wanita dan seorang lelaki sudah ditemui setakat ini manakala enam lagi masih hilang. – Bharian

Komen

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *