Majlis persaraan Guru Besar SK Kukusan disambut oleh guru dan pelajar

Majlis persaraan Guru Besar SK Kukusan disambut oleh guru dan pelajar

TAWAU: Sekolah Kebangsaan (SK) Kukusan menyambut majlis persaraan guru besarnya yang bersara wajib dalam usia 60 tahun, di sini, semalam.

Majlis itu diadakan dalam dua sesi iaitu pada waktu siang bersama murid dan sebelah malam bersama Timbalan Pegawai Pendidikan Daerah Abdul Hadi, guru-guru dan Ahli Jawatankuasa Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG).

Guru Besar SK Kukusan Abd Mustapa Massa berkata, sangat sukar untuk meninggalkan sekolah ini kerana banyak kenangan manis yang dilakar selama berkhidmat sebagai guru besar di sekolah ini.

“Sangat sukar menerima kenyataan ini bahawa kini sudah tiba masanya untuk bersara dengan rasminya sebagai seorang pendidik dan guru besar tetapi hakikatnya inilah kenyataan usia sudah menjangkau 60 tahun yang wajib untuk bersara,” katanya.

Beliau berkata, kecintaannya terhadap sekolah ini mendorong untuk tidak mengambil baki cuti yang masih ada 40 hari tetapi mahu meneruskan hadir ke sekolah seperti biasa sehingga masa betul-betul bersara.

“Sepatutnya saya boleh mohon cuti berkenaan pada Oktober tahun lalu tapi kerana sayang pada warga sekolah ini tetap meneruskan tugasan saya seperti biasa.

“Sekiranya boleh, saya masih mahu berkhidmat lagi tapi apakan daya sudah tiba masanya sampai ke destinasi yang dituju,” katanya.

Utusan Borneo difahamkan, jawatan beliau akan diambil alih oleh Sopiah Ahmad yang berkuatkuasa pada 7 Januari.

-Utusan Borneo

Komen

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *