Ketua geng sindiket pecah rumah diburu, lapan anggota sindiket ditangkap

Ketua geng sindiket pecah rumah diburu, lapan anggota sindiket ditangkap

TAWAU: Polis memburu seorang lelaki warga tempatan iaitu Heng Mok Cheen atau Ah Cheen yang disyaki bertindak sebagai ketua geng sindiket pecah rumah curi peti besi.

Kumpulan itu disyaki melakukan jenayah pecah rumah melibatkan 10 kes curi peti besi dan sarang burung yang dianggarkan menyebabkan kerugian berjumlah RM100,000.

Ketua Polis Daerah Tawau Asisten Komisioner Peter Umbuas berkata suspek Ah Cheen, 39, yang tinggal di Taman Tawau, Jalan Chong Thien Vun, dipercayai masih berada di negeri ini.

“Kita berharap orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai keberadaan suspek supaya dapat menghubungi polis supaya lelaki itu dapat ditahan dengan segera.

“Setakat ini kita sudah menangkap tujuh lelaki tempatan dan seorang lelaki warga asing berumur 22 sehingga 42 tahun yang disyaki anggota kumpulan geng Ah Cheen,” katanya.

Peter berkata demikian kepada pemberita semasa sidang media di IPD Tawau, di sini, semalam, yang turut dihadiri Timbalan Ketua Polis Daerah Tawau Superintendan Nur Azizulkifli Mansor.

Selain Daerah Tawau, sindiket itu juga dipercayai menjalankan aktiviti jenayah kes pecah rumah di daerah lain seperti di Lahad Datu, Semporna, Kunak dan Kota Kinabalu.

“Penahanan lapan suspek terbabit dijalankan dari 2 sehingga 21 Oktober di sekitar daerah ini dan kita turut merampas pelbagai peralatan pecah rumah serta barang kes yang lain.

“Antaranya, sebuah kenderaan pacuan empat roda dan tiga kereta ‘Saloon’ yang dipercayai digunakan oleh kumpulan berkenaan untuk melakukan jenayah,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau berkata pemeriksaan rekod jenayah lampau mendapati ada di antara suspek yang ditangkap pernah terlibat dengan kes jenayah pecah rumah dan curi.

Malah, berdasarkan pemeriksaan berkenaan juga, tiga daripada lapan suspek terbabit didapati pernah ditangkap selepas didapati positif mengambil dadah methampetamine.

“Kelapan-lapan suspek yang disyaki anggota sindiket itu dibawa ke Mahkamah Majistret Tawau untuk tahanan reman mengikut Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah,” katanya.

Penahanan kesemua suspek dan siasatan kes berkenaan dijalankan mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan dan Seksyen 15 (1) (c) Akta Dadah Berbahaya 1952.

sumber berita Utusan Borneo Online
#MyTawau

Komen

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *