‘Guna ATM terhad 7 pagi hingga 10 malam’ – BNM

‘Guna ATM terhad 7 pagi hingga 10 malam’ – BNM

KUALA LUMPUR: Waktu operasi harian bagi mesin pengeluaran wang automatik (ATM) dan terminal layan diri lain, dihadkan dari jam 7 pagi hingga 10 malam sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berkuat kuasa.

Bank Negara Malaysia (BNM) memaklumkan, mesin ATM, deposit tunai, cek dan duit syiling akan beroperasi sepenuhnya di lokasi yang tidak terjejas dengan PKP dalam tempoh waktu berkenaan.

Katanya, beberapa perkhidmatan kewangan penting lain turut beroperasi sepenuhnya, seperti perbankan dalam talian manakala perkhidmatan pengurupan dan kiriman wang masih disediakan di cawangan bank.

“Pemprosesan dan pengendalian tuntutan insurans dan takaful, pengeluaran surat jaminan dan pembaharuan polisi insurans dan sijil takaful tahunan, serta penyedia perkhidmatan e-pembayaran juga disenarai dalam perkhidmatan penting,” kata BNM dalam soalan lazim mengenai akses kepada perkhidmatan kewangan penting semasa PKP.

BNM memaklumkan, penyedia perkhidmatan kewangan penting dibenarkan beroperasi sepanjang tempoh PKP seperti bank, institusi kewangan pembangunan, syarikat insurans dan takaful, namun pengguna bakal berdepan sedikit gangguan dan kelewatan dalam operasi.

“Sesetengah cawangan mungkin ditutup. Cawangan dibuka diberi kelonggaran menyediakan perkhidmatan kaunter terhad atau memendekkan waktu urusan.

“Namun semua transaksi perbankan yang biasa masih boleh dilakukan secara dalam talian atau melalui peranti mudah alih,” jelasnya.

Bagi yang menghadapi masalah kewangan dan tidak dapat membayar ansuran bulanan kad kredit dan pinjaman, BNM memaklumkan, semua bank dan institusi kewangan pembangunan sedia menstruktur dan menjadual semula pinjaman pada mereka yang terkesan dengan COVID-19.

“BNM masih beroperasi sepanjang tempoh PKP, namun perkhidmatan barisan hadapan termasuk BNMLINK untuk pengunjung ditutup sementara mulai 18 Mac hingga 31 Mac,” katanya.

B.harian

Komen

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *