Dua pesta tahunan Sabah dibatalkan

Dua pesta tahunan Sabah dibatalkan

PESTA Kaamatan dan Pesta Kalimaran dibatalkan semalam berikutan penularan wabak Covid-19 di seluruh dunia termasuk Sabah.

Pembatalan dua acara tahunan Penampang dan Tenom itu diumumkan menerusi satu kenyataan rasmi yang dikeluarkan Pengerusi Jawatankuasa Induk Pesta Kaamatan dan Pesta Kalimaran, Datuk Peter Anthony.

Menurut Peter, keputusan pembatalan itu sebagai langkah berjaga-jaga susulan penularan dan peningkatan peratusan kes Covid-19 di seluruh negara.

Katanya, ia selaras dengan keputusan Mesyuarat Khas Keselamatan Mengenai Ancaman Pandemik Covid-19 Negeri Sabah, semalam.

DATUK Peter Anthony. FOTO Edmund Samunting

Dalam satu kenyataan media berasingan yang dikeluarkan oleh Setiausaha Agung Persatuan Kebudayaan Kadazandusun (KDCA), Suman Yasambun berkata, pihaknya sebulat suara mengambil keputusan membatalkan Pesta Kaamatan selepas perbincangan dilakukan.

“Perbincangan dengan Huguan Siou Tan Sri Datuk Seri Joseph Pairin Datuk Kitingan, presiden dan ahli jawatankuasa KDCA, pihak kami sebulat suara memutuskan bahawa KDCA tidak akan meneruskan perayaan Pesta Kaamatan tahun ini demi faktor kesihatan,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan semalam.

Terdahulu, media semalam melaporkan kerajaan memutuskan semua perhimpunan termasuk mesyuarat antarabangsa, acara sukan, sosial dan keagamaan ditangguhkan atau dibatalkan mengikut kesesuaian sehingga 30 April berikutan penularan wabak Covid-19.

Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, keputusan itu akan diteliti semula sekiranya situasi Covid-19 bertambah baik.

Sumber:https://www.hmetro.com.my/mutakhir/2020/03/554452/dua-pesta-tahunan-sabah-dibatalkan

Komen

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *