COVID19 – OPERASI LAPAN LADANG, KILANG MILIK SABAH SOFTWOOD DI KALABAKAN DIHENTIKAN SEMENTARA

COVID19 – OPERASI LAPAN LADANG, KILANG MILIK SABAH SOFTWOOD DI KALABAKAN DIHENTIKAN SEMENTARA

TAWAU; 24 MARCH 2020 (Selasa) – Susulan keputusan kerajaan Negeri Sabah memutuskan untuk menutup pengoperasian ladang dan kilang Sawit di Lahad Datu, Kinabatangan Dan Tawau, operasi lapan lagi ladang milik Sabah Softwood Berhad (SSB) di Kalabakan akan dihentikan sementara.

Ketua Pegawai Eksekutif SSB, Hattah Jaafar yang dihubungi pemberita RTM berkata, penutupan operasi lapan ladang dan kilang itu akan dilaksana serta-merta selaras dengan keputusan kerajaan negeri mengikut tarikh yang ditetapkan.

Lapan Ladang itu adalah Ladang Mawang, Ladang Kapilit, Ladang Bukit tukok, Ladang Kuminsi, Ladang Dumpas, Ladang cenderamata, Ladang Sungai Indit dan Ladang Benita.

Beliau berkata, pihaknya akur akan keputusan yang dimaklumkan itu yang bertujuan menghalang pergerakan pekerja-pekerja ladang berikutan terdapat pekerja ladang yang dilaporkan Positif COVID-19 di ketiga-tiga daerah berkenaan.

Dalam pada itu, beliau tidak menafikan, langkah drastik pemberhentian pengoperasian awal sebuah Ladang milik SSB iaitu Ladang Bukit Batu di Kalabakan sejak 18 Mac lepas turut berkaitan dengan wabak COVID-19.

Bagaimanapun katanya, pihak SSB dapat menangani perkara itu dengan kerjasama pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) Tawau.

Beliau yakin, keputusan kerajaan negeri agar semua pengoperasian Ladang serta kilang di tiga kawasan berkenaan bertujuan memastikan penularan wabak COVID-19 dapat ditangani sepenuhnya.

Jelasnya, pihaknya juga sentiasa memberi kerjasama yang baik dengan kerajaan negeri sekiranya perlu menutup pengoperasian dalam satu tempoh yang ditetapkan demi menjamin kesejahteraan kakitangan, pekerja ladang dan keluarga mereka.

Bagaimanapun, beliau berharap agar kerajaan negeri juga menyelami lebih lanjut bebanan industri Sawit pada masa ini antaranya cadangan dengan mengurangkan cukai jualan kelapa Sawit kepada 4 peratus berikutan cukai itu kini pada kadar 7.5 peratus.

Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Safar Untong dalam satu kenyataan hari ini memaklumkan Operasi ladang Sawit di tiga kawasan itu ditutup serta merta berkuatkusa esok hingga 31 Mac manakala operasi kilang kelapa sawit diberhentikan beroperasi bermula jumaat ini.

#BESTAWAUfm

Komen

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *