COVID-19: ATM nafi diberi kuasa pukul orang awam ingkar PKP

COVID-19: ATM nafi diberi kuasa pukul orang awam ingkar PKP

Gambar hiasan: 2019. Kerajaan akan menggerakkan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) bermula Ahad ini dalam usaha mengurangkan pergerakan rakyat, namun ia bukanlah satu perintah darurat. – Foto NSTP/Iqmal Haqim Rosman

KUALA LUMPUR: Angkatan Tentera Malaysia (ATM) menafikan dakwaan mengatakan anggota tentera diberi kuasa untuk memukul mana-mana orang awam yang melanggar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

ATM juga tidak merancang untuk memohon bantuan veteran tentera bagi membantu menguatkuasakan PKP, seperti dakwaan yang tular di media sosial.

Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Affendi Buang, menegaskan dakwaan yang tular di media sosial itu adalah berita palsu dan mereka yang menyebarkannya boleh didakwa mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

“ATM menafikan sekeras-kerasnya bahawa rakaman nota suara dan mesej informasi (anggota tentera diberi kuasa pukul orang awam dan memohon bantuan veteran ATM) adalah menggambarkan kaedah yang diguna pakai oleh ATM dalam membantu Polis Diraja Malaysia (PDRM) menguatkuasa PKP.

“Masyarakat diminta berhenti menyebarkannya serta-merta kerana mesej atau informasi itu boleh mengundang pelbagai spekulasi dan mencetuskan suasana panik dalam kalangan rakyat,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Terdahulu, tular nota suara berdurasi 39 saat serta mesej mendakwa anggota tentera akan terus memukul mana-mana orang awam yang melanggar PKP.

Turut ditularkan adalah dakwaan kononnya Kementerian Pertahanan akan memohon bantuan veteran tentera bagi ketiga-tiga cabang perkhidmatan untuk membantu pihak berkuasa menjalankan PKP, yang turut dinafikan Affendi.

Mengulas lanjut, Panglima Angkatan Tentera itu menjelaskan, orang awam tidak perlu bimbang jika melihat kehadiran anggota ATM, sama ada daripada cabang perkhidmatan darat, laut dan udara.

ATM ketika ini hanya menjalankan tugas sekunder di waktu aman, iaitu membantu pihak berkuasa awam memelihara keamanan negara.

“Orang ramai perlu bekerjasama dalam mematuhi PKP agar usaha membendung penularan COVID-19 dapat dilaksanakan sebaik mungkin,” katanya.

B.harian:

Komen

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *