BEKAS GURU BESAR DIDAKWA BERI PROJEK RMT SEKOLAH KEPADA ISTERI, ANAK

BEKAS GURU BESAR DIDAKWA BERI PROJEK RMT SEKOLAH KEPADA ISTERI, ANAK

TAWAU; 25 OKTOBER 2019 (Jumaat) – Seorang pesara yang merupakan mantan Guru Besar di salah sebuah sekolah rendah di Kunak dihadapkan ke Mahkamah Sesyen pagi tadi, atas pertuduhan rasuah membabitkan program Rancangan Makanan Tambahan (RMT) lapan tahun lalu.

Tertuduh berumur 64 tahun, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Awang Kerisnada Awang Mahmud.

Beliau didakwa melakukan kesalahan menggunakan kuasa meluluskan pemberian pembekalan makanan RMT kepada sebuah syarikat milik isterinya dan anaknya berjumlah 59-ribu 961 ringgit setahun bagi tempoh 2011.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan di bawah seksyen 23 (1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia yang boleh dihukum di bawah seksyen 24(1) Akta yang sama.

Jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman penjara tidak melebihi 20-tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda jumlah atau nilai suapan.

Prosiding kes dikendalikan Pegawai Pendakwa SPRM, Mohd Faliq Basirun manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Mohd Faliq meminta mahkamah menetapkan wang jaminan 15-ribu ringgit dengan seorang penjamin. Namun tertuduh merayu supaya jumlah itu dikurangkan kerana tertuduh merupakan pesara selain hanya bekerja sebagai Ketua Kampung dengan pendapatan 7-ratus ringgit sebulan.

Hakim Awang Kerisnada kemudian menetapkan wang jaminan 10-ribu ringgit dengan dua penjamin tempatan, menyerahkan passport terhad dan antarabangsa kepada Mahkamah tidak lewat 31 oktober ini selain perlu melapor diri ke SPRM sekali setiap 2 bulan.

Tertuduh juga diarah tidak menghubungi atau mengganggu mana-mana saksi SPRM samada melalui orang ke tiga sebelum, semasa dan selepas perbicaraan. Sebutan semula kes pada 15 Disember depan. -BESTAWAUfm

Komen

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *