BALAI BOMBA ATAS AIR SEMPORNA DENGAN KOS 200-RIBU RINGGIT KINI BEROPERASI

BALAI BOMBA ATAS AIR SEMPORNA DENGAN KOS 200-RIBU RINGGIT KINI BEROPERASI

TAWAU; 12 DISEMBER 2019 (Khamis) – Balai Bomba dan Penyelamat Air pertama di negara ini yang dibina di Jeti Pelancongan Semporna dengan kos 200-ribu ringgit kini beroperasi sepenuhnya.

Pengarah Jabatan Bomba Penyelamat Malaysia (JBPM) Negeri Sabah, Kamarulzaman Malik Abdullah berkata,
dengan kewujudan balai itu, ia akan
membantu menangani kes kebakaran rumah atas air dengan tindak masa yang lebih pantas.

Beliau berkata, ini termasuk berjaya menyelamatkan banyak nyawa serta harta benda sekiranya kejadian kebakaran berlaku.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada Majlis Apresiasi Bomba Bersama media peringkat Zon Tawau di Balai Bomba Dan Penyelamat (BBP) Tawau.

Menurut Kamarulzaman, Balai Bomba itu akan menjadi contoh kepada Negeri lain serta kawasan-kawasan di Pantai Timur Sabah, Pantai Barat Selatan serta kawasan Utara Sabah berikutan terdapat banyak penempatan atas air dan berisiko kebakaran rumah.

Justeru katanya, seperti yang pernah diwar-warkan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin sebelum ini, balai bomba kategori E akan diwujudkan di Pulau Banggi, Kudat dan dikendalikan Oleh Pasukan Bomba Sukarela (PBS).

Mengulas lanjut, Kamarulzaman berkata, Balai bomba atas air di Semporna itu dikendalikan ketua balai, tiga penyelia dan 20 anggota Pasukan Bomba Bantuan (PBB) yang sememangnya arif dengan kawasan Semporna selain terlatih dan cekap dalam menghadapi kecemasan.

Ia turut dilengkapi tiga bot sebagai aset operasi yang masing-masing digunakan untuk operasi memadam kebakaran, sebagai unit bantuan perkhidmatan kecemasan (EMRS) serta untuk operasi mencari dan menyelamat (SAR).

Jelasnya, pada tahun hadapan, balai itu turut dilengkapkan dengan menara peninjau dan tempat penyimpanan bot.

Mengenai Majlis Apresiasi itu, beliau berkata ia merupakan penghargaan terhadap para media yang komited membantu JBPM Sabah dalam usaha melaporkan maklumat sahih khususnya operasi yang dilaksanakan Bomba dalam menangani sebarang kecemasan.

Sehubungan itu, beliau berharap agar kerjasama diantara JBPM dan media terus utuh.

Lebih 20 pengamal media di Tawau diraikan pada majlis itu yang turut diberikan Sijil Penghargaan selain dimeriahkan dengan pelbagai persembahan daripada Pegawai dan anggota BBP Tawau. -BESTAWAUfm

Komen

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *