Badak sumbu Sumatera pupus di Malaysia

Badak sumbu Sumatera pupus di Malaysia

Iman’, badak sumbu Sumatera disahkan mati pada jam 5.35 petang tadi. – Foto Roy Goh

Kota Kinabalu: Malaysia kehilangan badak sumbu Sumatera terakhir selepas ‘Iman’ disahkan mati pada jam 5.35 petang tadi di Santuari Badak Borneo, Hutan Simpan Hidupan Liar Tabin, di Lahad Datu.

Mengumumkan kematian badak betina berusia 25 tahun itu, Timbalan Ketua Menteri Sabah, Datuk Christina Liew merangkap Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar negeri berkata, kematian Iman adalah secara alami dan dikategorikan sebagai mati mengejut.

“Walaupun kami tahu ia akan berlaku namun tidak menyangka berlaku dengan begini cepat dan kami sangat sedih dengan berita ini,” katanya dalam satu kenyataan di sini, petang tadi.

Christina berkata, Iman diberi penjagaan dan perhatian yang terbaik sejak Mac 2014 sehingga ia sembuh. Iman sebenarnya hampir mati apabila beberapa kali kehilangan banyak darah akibat ketumbuhan atau tumor pada uterusnya beberapa tahun lalu.

“Pasukan di Tabin memberikan sokongan sepenuhnya dan berjaya memulihkan tahap kesihatannya dan menghasilkan sel telur,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Hidupan Liar Sabah, Augustine Tuuga, berkata kematian Iman berlaku lebih awal daripada yang dijangkakan.

“Tetapi kami tahu Iman mula mengalami kesakitan akibat tekanan yang semakin bertambah pada tumor di pundi kencingnya,” katanya.

Sebelum ini, media melaporkan Iman yang berusia 25 tahun semakin tenat dan menyebabkan proses pengambilan telur untuk pembiakan secara in-vitro (IVF) sukar dilakukan.

Komen

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *