Anak Tawau menang PROTON Persona

Anak Tawau menang PROTON Persona

KUALA LUMPUR: Kegembiraan jelas terpampar di wajah anak kelahiran Tawau, Sabah, Nur Fadhilah Iman Essoharto, 26, ketika menerima sebuah kereta PROTON Persona 1.6 CVT di Ibu Pejabat Pos Laju Malaysia, di sini.

Beliau yang dinobatkan sebagai pemenang utama dalam peraduan Pos ArRahnu Persona Gold edisi kedua itu, bersyukur apabila memenangi tempat pertama melalui cabutan bertuah.

Katanya, kemenangan itu disebabkan rakannya yang menggadaikan emas atas namanya.

“Siapa sangka, disebabkan itu, Cawangan Pos ArRahnu Tawau menelefon saya dengan memberitahu bahawa pajakan melebihi RM1,000 dan layak untuk menyertai peraduan itu.

“Pada awalnya, saya terkejut kerana saya fikirkan ini ‘scammer’. Namun, selepas diberi penerangan, barulah saya percaya.

“Saya berasa sangat gembira dan teruja, kerana tidak sangka sama sekali akan memenangi sebuah kereta,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas Majlis Penyampaian Hadiah Peraduan Pos ArRahnu Persona Gold di sini, semalam.

Sementara itu, dua pemenang bagi tempat kedua masing-masing menerima sebuah motosikal Modenas MR2 110cc.

Enam pemenang tempat ketiga menerima jongkong emas satu dinar Pos ArRahnu, dan pemenang hadiah sampingan masing-masing menerima jongkong emas setengah dinar Pos ArRahnu (lima pemenang), jongkong emas satu gram Pos ArRahnu (enam pemenang) serta jongkong emas setengah gram Pos ArRahnu (enam pemenang).

Turut hadir, Ketua Kumpulan Pengurusan Saluran dan Pengalaman Pelanggan Pos Malaysia Berhad, Azmil Othman Merican bagi menyampaikan hadiah kepada semua pemenang.

Azmil berkata, peraduan ini bertujuan mewujudkan kesedaran mengenai pelbagai perkhidmatan yang ditawarkan oleh Pos ArRahnu, selain untuk meningkatkan pengekalan pelanggan.

“Peraduan pada tahun ini mendapat 20,343 penyertaan dari pelanggan Pos ArRahnu. Ini peningkatan sebanyak 8,863 atau 71 peratus, berbanding edisi pertama yang diadakan tahun lalu.

“Kami berharap penganjuran ini akan terus membantu dalam menarik minat pelanggan untuk menggunakan produk serta perkhidmatan Pos ArRahnu,” katanya. -Bharian

Komen

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *