7 warga Indonesia ditahan tiada dokumen sah

7 warga Indonesia ditahan tiada dokumen sah

TAWAU: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) menahan tujuh pendatang asing tanpa izin (PATI) warga Indonesia dalam operasi khas, Ops Pluto Timur di kawasan perairan berhampiran Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) Tawau yang lama, di sini semalam.

Pengarah Maritim Malaysia Zon Tawau, Kapten Maritim V Siva Kumar, berkata kesemua suspek, masing-masing lima lelaki dan dua wanita, termasuk juragan bot berusia antara 13 hingga 51 tahun itu ditahan kerana tidak memiliki dokumen pengenalan diri yang sah.

Beliau berkata, anggotanya yang sedang menjalankan rondaan rutin di kawasan itu terserempak sebuah bot penumpang dari arah Tawau menuju ke Pulau Sebatik dalam keadaan mencurigakan kira-kira jam 4.30 petang sebelum mengarahkan pemandu bot berhenti untuk pemeriksaan.

“Hasil pemeriksaan membawa kepada penahanan seorang juragan dan enam penumpang warga Indonesia. Suspek dipercayai cuba menyusup keluar dari daerah ini secara haram menggunakan laluan yang tidak diwartakan,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.

Siva Kumar berkata, nama juragan yang mengemudi bot berkenaan juga tidak sama seperti rekod tercatat dalam lesen bot dikemukakan kepada Maritim Malaysia.

“Kesemua suspek yang ditahan dibawa ke Jeti Maritim Tawau untuk siasatan lanjut mengikut Akta Imigresen 1959/63 dan Enakmen Pelabuhan dan Dermaga Sabah 2002,” katanya. -Bharian

Komen

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *