200 ANGGOTA PASUKAN KESELAMATAN TERLIBAT PERLAKSANAAN PKP DI TAWAU

200 ANGGOTA PASUKAN KESELAMATAN TERLIBAT PERLAKSANAAN PKP DI TAWAU

TAWAU; 22 MARCH 2020 (Ahad) – Kira-kira 200 anggota pasukan keselamatan melibatkan Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Pasukan Gerakan Am (PGA) dan Rejimen 516 Askar Wataniah terlibat dalam melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di daerah Tawau bermula 12-tengahari ini.

Ketua Polis Daerah Tawau ACP Peter Anak Umbuas berkata, pihaknya menggunakan beberapa kaedah dalam memantau pergerakan orang ramai sepanjang fasa pertama Ops Covid-19 sehingga 31 Mac.

Katanya, sekatan jalan raya dilakukan di empat jalan utama bagi menyekat orang ramai keluar dan masuk tanpa sebarang urusan penting, turut dilaksanakan pemantauan dari satu tempat ke satu tempat lain bagi memberikan nasihat kepada orang ramai berkaitan arahan PKP.

Mengulas lanjut, tindakan tegas akan dibuat termasuklah membuat tangkapan atas kesalahan di bawah Seksyen 186 Kanun Keseksaan iaitu ingkar perintah atau ingkar terhadap arahan penjawat awam yang menjalankan tugas.

Beliau berkata demikian ditemui semasa melakukan pemantauan dalam sekatan jalan raya di Batu 5, Jalan Apas di Tawau.

Katanya, dalam merealisasikan objektif menyekat rantaian covid-19, jawatankuasa pusat Operasi daerah Tawau juga telah memutuskan penutupan semua premis perniagaan termasuk pasar sehingga pukul 2 petang.

Sementara itu, pihaknya telah mengenalpasti penduduk di dua kawasan di daerah ini yang masih tidak mengendahkan perintah larangan pergerakan itu sepenuhnya.

Sehubungan itu pihaknya berserta gabungan anggota keselamatan yang terlibat dalam PKP berkenaan akan mengambil tindakan drastik selain mengadakan rondaan lebih kerap di kawasan berkenaan.

Dalam pada itu, hasil tinjauan RTM mendapati suasana di pusat bandar terus berada dalam keadaan lenggang dengan premis perniagaan tidak beroperasi.

#BESTAWAUfm

Komen

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *